PhotobucketPhotobucketPhotobucketPhotobucketPhotobucket

Pages

Thursday, 2 August 2012

ELAK JURANG LEBIH BESAR

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my (10 Julai 2009)

JIKA tidak salah, tidak ada mana-mana negara di dunia yang menggunakan selain bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan mereka.

Malah, negara-negara seperti Jepun, Perancis, Rusia dan Korea juga menggunakan bahasa ibunda masing-masing untuk mencapai status negara maju seperti ketika ini.

Perkara ini pastinya berkait rapat dengan kefahaman asas sesuatu ilmu terutamanya Matematik dan Sains yang perlu dikuasai menggunakan bahasa yang difahami oleh anak bangsanya.

Maksudnya dalam sistem pendidikan negara, ia seharusnya menggunakan bahasa Malaysia atau bahasa ibunda kaum-kaum utama lain.

Barangkali kerana itu juga, sejak PPSMI dilaksanakan pada 2003, dasar pendidikan ini mendapat reaksi yang pelbagai daripada banyak pihak.

Ketika ramai melihat ia merupakan langkah terbaik dalam memperkasakan bahasa Inggeris, lebih ramai pula menilai pelaksanaannya memperjudikan masa depan generasi muda dan jati diri serta identiti bangsa.

Penilaian itu dibuat berdasarkan kajian-kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak sama ada ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau organisasi-organisasi lain.

Sekurang-kurangnya 46 kajian mengenai pelaksanaan dasar PPSMI dijalankan sepanjang enam tahun pelaksanaannya dengan rata-rata hasil dapatan memberikan maklum balas yang kurang memberangsangkan.

Penggunaan bahasa Inggeris juga menunjukkan penguasaan Matematik dan Sains di peringkat asas di kalangan pelajar-pelajar semakin lemah.

Perkara ini turut memberi kesan terhadap pencapaian pelajar terutamanya pelajar Melayu dalam peperiksaan UPSR yang semakin merosot.

Dalam gambaran yang lebih luas, pencapaian pelajar Malaysia dalam bidang Matematik dan Sains tidak lagi kompetitif di peringkat antarabangsa.

Perkara ini telah terbukti apabila kedudukan pencapaian pelajar Malaysia berada di tangga ke-20 berbanding Singapura dan China yang masing-masing berada pada kedudukan pertama dan kedua tahun lalu.

Maka, ia secara tidak langsung membuktikan bahawa strategi PPSMI sebenarnya adalah tidak sesuai.

Kerana itu juga ramai yang beranggapan keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI menjelang 2012 adalah langkah yang wajar.

Semestinya, keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI turut mengambil kira kajian yang dilakukan yang antara lain memberikan dapatan yang konsisten serta data-data yang meyakinkan.

Namun bagi pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, kerajaan sebenarnya bertindak bijaksana dengan pemansuhan PPSMI itu apabila mendengar keluhan rakyat dan memberikan perhatian serta membetulkannya mengikut kesesuaian.

Menurut beliau, kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak itu sewajarnya dipandang dengan serius kerana ia memberikan gambaran sebenar kepada sejauh mana kejayaan pelaksanaannya.

Antaranya berkaitan implikasi terhadap jurang pencapaian pelajar yang semakin melebar berasaskan etnik, lokasi sekolah dan jenis aliran pendidikan.

Adalah diyakini, sekiranya dasar PPSMI diteruskan, jurang tersebut di kalangan masyarakat akan bertambah besar.

Jika tidak dimansuhkan, jurang pencapaian akademik itu akan membawa kepada jurang ekonomi dan status kehidupan pada masa depan.

Anuar menambah, data-data pencapaian akademik juga menunjukkan PPSMI turut meningkatkan jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar.

Ini secara tidak langsung dilihat membina jurang antara pelajar Melayu dan bukan Melayu.

''Kesannya sangat buruk dan boleh membahayakan generasi dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang," ujar Anuar.

Bagaimanapun keputusan memansuhkan PPSMI itu pastinya tidak sesekali turut memansuhkan hasrat semua pihak untuk melihat bahasa Inggeris terus diperkasakan.

Hakikatnya, kepentingan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara tidak pernah dinafikan oleh sesiapa. Hatta oleh kumpulan yang sebelum ini lantang menentang PPSMI sekali pun.

Tanpa penguasaan bahasa Inggeris, masyarakat Malaysia akan ketinggalan dalam persaingan yang menjurus kepada era teknologi dan informasi ketika ini.

Malah kepentingan bahasa Inggeris juga semakin dirasakan di peringkat tempatan terutamanya di kalangan pelajar-pelajar Melayu.

Mereka berasa ketinggalan berbanding rakan-rakan lain yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik sekurang-kurangnya untuk tujuan berkomunikasi.

Begitu juga untuk tujuan akademik dan penyelidikan yang mana kebanyakan bahan rujukan adalah dalam bahasa Inggeris.

Cabaran lebih besar menanti pelajar-pelajar ini apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan terutamanya dalam sektor swasta.

Kemahiran berbahasa Inggeris dengan baik bukan lagi pilihan lagi jika mereka merancang untuk melangkah lebih jauh.

Kerana itu juga ramai yang memberikan reaksi positif kepada cadangan kerajaan untuk mewajibkan syarat lulus bahasa Inggeris sebagai syarat lulus SPM.

Alternatif-alternatif seperti yang digariskan oleh Kementerian Pelajaran dalam menggantikan dasar PPSMI juga dilihat sebagai satu langkah penyusunan semula yang boleh diterima oleh seluruh masyarakat.

Langkah menambah guru dan waktu mengajar serta membawa guru dari luar misalnya, lebih efisien dan dicadangkan oleh banyak pihak.

Sebagai tambahan, Anuar turut mencadangkan supaya dijayakan program pembudayaan bahasa Inggeris melalui pembacaan, penulisan dan pertuturan.

Ia mencakupi dalam bidang kokurikulum, pertandingan antara sekolah atau interaksi harian antara pelajar dan guru serta program-program lain.

Apa yang lebih utama tambah Anuar, fungsi bahasa Inggeris seharusnya tidak sekadar menjadi mata pelajaran untuk peperiksaan.

Tetapi harus menjadi bahasa perhubungan dan dituturkan secara lebih meluas dalam perhubungan harian di sekolah.

Seperkara yang turut perlu diberi perhatian oleh kerajaan ialah isu kemahiran di kalangan guru-guru.

Menurut Anuar, masih terdapat ramai guru yang tidak dapat menguasai kemahiran berbahasa Inggeris dengan baik terutamanya dalam pertuturan.

''Jika guru sendiri memandang sepi usaha dan kepentingan bahasa Inggeris, kita sebenarnya tidak banyak bergerak ke hadapan," ujar beliau.

Dalam menilai PPSMI juga, antara perkara yang sering menjadi perdebatan ialah ialah kemampuan bahasa Malaysia sebagai bahasa teknologi.

Perkara ini turut mendapat perhatian pensyarah Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya. Dr. Mohd. Noor Yazid.

Menurut beliau, kemampuan bahasa Malaysia dalam melahirkan ramai profesional di kalangan anak tempatan terutamanya orang Melayu tidak wajar dipertikai.

Beliau mengambil contoh sistem pendidikan di universiti pada awal 70-an yang menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar.

Ketika itu katanya, tidak timbul isu kesukaran pelajar-pelajar tercicir atau berdepan kesukaran menguasai bidang kritikal seperti kejuruteraan dan perubatan.

Sebaliknya, mereka dapat menyesuaikan diri dengan istilah-istilah teknologi bahasa Inggeris kerana asas-asas bahasa itu sudah dikuasai menerusi kefahaman menerusi bahasa Malaysia.

''Apa yang penting di sini ialah kefahaman di peringkat awal yang mana bahasa Malaysia seharusnya menjadi bahasa pengantar kerana ia lebih dikuasai dan difahami oleh pelajar," ujar beliau

No comments:

Post a Comment

Menyingkap Sejarah Lalu